Anda mahu memulakan perniagaan anda sendiri?
Tapi anda tidak tahu bagaimana anda mahu mula atau apa langkah yang wajar anda lakukan. Anda juga rasa takut jika anda gagal ketika mahu mulakan perniagaan anda?
Jom kita lihat apa yang anda boleh lakukan untuk mulakan perniagaan anda supaya anda lebih bersemangat.
Kami sediakan 8 cara yang anda boleh lakukan dan anda boleh pilih cara yang mana sesuai dengan anda.
1. Jadikan Perniagaan Anda Sebagai Sambilan
Tidak perlu anda tergesa-gesa berhenti kerja hanya kerana mahu berniaga. Gunakan gaji yang anda terima setiap bulan untuk menyelesaikan segala komitmen anda dan juga boleh guna sedikit untuk perniagaan anda.
Tambahan pula, anda tidak perlu membuat pinjaman dari institusi kewangan, guna sahaja gaji anda.
Tetapi, anda perlulah tahu bagaimana mahu membahagi kerja harian anda dan perniagaan sambilan.
2. Operasi Perniagaan Di Rumah
Anda masih baru dalam menjalankan perniagaan dan tambahan lagi, modal pula kekurangan untuk anda buka kedai anda, jadi cara paling mudah untuk tangani adalah anda mulakan perniagaan anda di rumah dahulu.
Apabila perniagaan anda sudah menunjukkan kemajuan, anda boleh teruskan ke fasa seterusnya, mungkin cari kawasan kedai yang sesuai untuk disewa atau pejabat untuk disewa bagi meneruskan perniagaan anda.
Jika kita lihat sekeliling, kita dapat lihat ramai usahawan menggunakan kedai kopi seperti Starbucks atau kedai mamak sebagai pejabat mereka. Anda akan lebih jimat dan juga dapat memudahkan anda ketika melakukan perniagaan anda.
Kenapa jimat dan mudah?
Kerana anda dapat menggunakan semua kelebihan yang diberikan di tempat tersebut seperti internet, meja kerusi dan memudahkan anda menyiapkan tugasan serta boleh berjumpa dengan pelanggan anda.
3. Perniagaan Berasaskan Kemahiran Anda
‘Love what you do’ atau ‘do what you love’ – Pernah dengar tak pepatah sebegini?
Setiap apa yang terjadi dalam hidup ini, kita mesti ada perkara yang paling kita suka dan bersemangat untuk lakukan.
Kenalpasti kemahiran dan minat anda yang anda boleh gunakan untuk memasarkan di pasaran sebagai bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Sebagai contoh, anda mahir dalam membaiki telefon pintar dan komputer dan rakan –rakan anda pula sering minta bantuan anda dan anda pula suka lakukan perkara tersebut.
Maka anda boleh gunakan kemahiran itu untuk mulakan perniagaan anda dalam pembaikan telefon pintar dan komputer.
Anda boleh gunakan sosial media seperti Facebook atau Instagram untuk memuat naik video anda baiki telefon pintar atau komputer.
Daripada situ, anda boleh tawakrkan perkhidmatan anda dan beri pelanggan anda peluang mahu berjumpa dan baiki depan mereka atau mereka berikan telefon pintar atau computer mereka dan ambil semula keesokan atau beberapa hari kemudian.
Pendek kata, sekiranya anda ada kemahiran yang diperlukan oleh orang, jadikannya sebagai perniagaan anda.
4. Jual Barangan Terpakai
Contohnya, anda mungkin gemar membeli-belah pakaian atau koleksi buku yang tidak digunakan lagi.
Hari ini terdapat pelbagai aplikasi online seperti Mudah.com, Carousell dan Shopee untuk menjual semula barangan terpakai.
Ini merupakan cara memulakan perniagaan paling mudah untuk anda yang baru hendak menjinakkan diri untuk berniaga.
5. Buat Sistem Barter
Jika anda mahu berniaga berasaskan makanan, anda masih boleh menggunakan kelengkapan sedia ada di rumah.
Jika perniagaan semakin berkembang, barulah anda boleh membeli kuali, periuk atau sebagainya dengan saiz lebih besar.
Atau boleh buat sistem pertukaran barang di mana anda tawarkan servis yang pemiliknya perlukan.
Sebagai contoh, anda hendak tawarkan khidmat potong rumput, dan ada jiran anda yang sudah berusia mempunyai mesin pemotong rumput yang tidak lagi digunakan.
Apa kata anda tawarkan khidmat secara percuma kepada pemiliknya dan sebagai pertukaran anda simpan dan gunakan mesin potong rumput miliknya.
6. Jadi Ejen Dropship Atau Produk
Kaedah ini juga menjadi pilihan ramai orang yang baru menceburkan diri dalam perniagaan.
Anda tak perlu keluarkan modal, tak perlu simpan stok dan tak perlu lakukan penghantaran produk kerana ia dilakukan oleh vendor.
Menariknya anda akan perolehi keuntungan hingga 40% untuk setiap produk.
7. Berjimat!
Apabila baru mula berniaga, maka harus anda ingat, elakkan menunjuk-nunjuk dan berlagak seolah anda sudah raih untung berjuta-juta ringgit.
Untuk permulaan, ikat perut di awal memulakan perniagaan.
8. Daftar Perniagaan Dengan SSM
Bagi sesiapa yang mahu memulakan perniagaan, syarat mendaftar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pastinya menjadi kewajipan.
Ada orang bersemangat apabila mendaftar perniagaan mereka dan mahu berniaga dengan lebih baik untuk menambah pendapatan.
Baca Seterusnya – Tips Simpanan Wang Untuk Mereka Yang Mahu Mula Menyimpan
Discussion about this post