KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Kluster Masyarakat MyDIGITAL akan menerajui usaha mempromosi penggunaan e-pembayaran dalam kalangan pengguna dan peniaga bagi merancakkan transaksi digital yang mudah dan selamat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keputusan tersebut dibuat melalui mesyuarat ketiga Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya.
“Pada 2020, transaksi e-pembayaran per kapita adalah 170 dan dijangka meningkat kepada 400 menjelang 2022. Ini berikutan langkah-langkah bagi meningkatkan kesedaran dan kemudahan infrastruktur yang dilaksanakan secara berterusan.
“Kempen Hari Tanpa Tunai akan diadakan manakala sistem bayaran dengan aplikasi di terminal stesen minyak akan diperluas. Inisiatif ini sejajar dengan hasrat mewujudkan transaksi tanpa tunai untuk semua perkhidmatan kerajaan menjelang 2022,” katanya dalam satu kenyataan.
Mustapa berkata Perdana Menteri menerusi perutusan pembukaannya menekankan tentang kepentingan menggunakan pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation) bagi mempercepatkan agenda pendigitalan dan penerokaan teknologi seperti yang terkandung dalam Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara.
“Pendekatan ini memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan, industri dan rakyat untuk bergerak secara serentak dan saling melengkapi bagi mencapai kemakmuran bersama.
“Ketangkasan transformasi digital secara menyeluruh serta penciptaan dan penerimagunaan teknologi boleh menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Menerusi mesyuarat itu juga, Mustapa berkata, Kumpulan Kerja Peraturan dan Undang-Undang MyDIGITAL telah mencadangkan penggubalan undang-undang baharu dan meminda beberapa peraturan sedia ada bagi mewujudkan suasana kondusif dalam membantu perkembangan pendigitalan.
“Ia termasuklah tatacara perkongsian data awam untuk menyokong operasi pelbagai aplikasi digital dan membantu kerajaan membuat keputusan tepat berdasarkan analitik data,” katanya.
Menurutnya, cadangan itu telah dipersetujui secara prinsip dan kajian implikasi akan dilaksana oleh Kluster Kerajaan yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara.
“Antara inisiatif lain yang diberi perhatian adalah memperkenalkan Identiti Digital National dan Tandatangan Digital,” katanya lagi.
Mustapa berkata mesyuarat itu juga mengambil maklum penyelarasan semua strategi dan inisiatif yang dilakukan oleh Strategic Change Management Office (SCMO) di bawah Unit Perancang Ekonomi (UPE) untuk menyelaraskan pelaksanaan tiga pelan tindakan berkaitan pembangunan digital negara iaitu, Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia, Dasar 4lR Negara dan Rancangan Malaysia Ke-12.
— BERNAMA
BACA SETERUSNYA: MyDigital Pastikan Pembayaran Tanpa Tunai Menjelang 2022
Discussion about this post